Penduduk panik selepas Bali dilanda gempa (HMETRO)
KUTA: Satu gempa bumi yang kuat melanda Pulau Bali semalam, menyebabkan ramai tercedera dan beratus pelancong panik dan melarikan diri dari bangunan yang bergegar.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, 17 orang mengalami luka akibat ditimpa batu kecil dari bangunan.
Sebuah hospital, tiga sekolah dan dua bangunan kerajaan, turut rosak.
Doktor di Sanglah hospital, Ken Wirasandhi bagaimana pun berkata, 44 orang, hampir kesemuanya pelajar diberi rawatan akibat cedera di kepala dan luka.
“Dua orang pelajar masih lagi dibawah pengawasan. mereka mengalami kecederaan di kepala apabila batu menimpa mereka. Dua lagi menerima rawatan pesakit luar dan telah dibenarkan pulang,” katanya.
Menurut jurucakap Agensi Meteorologi dan Geofizik di Bali, Endro Tjahjono berkata, gegaran berskala 6 Richter menggegarkan Kuta buat beberapa minit.
“Orang ramai mula panik. Kami berlari keluar dari bangunan. Apabila kami kembali ke pejabat, kami lihat beberapa dinding retak dan simen pecah,” katanya.
Keadaan Jalan Sunset adalah yang paling kelam kabut apabila pelancong berlari keluar dari pusat beli-belah, restoran dan pasar raya. - AFP
---------------------------------------HH--------------------------------------------------
GAMBAR DAN VIDEO GEMPA BUMI DI BALI 13 OKTOBER 2011 (BERNAMA)
GEMPA DI BALI INDONESIA,46 CEDERA,19 BANGUNAN ROSAK
Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter yang berlaku di Nusa Dua Bali pagi Khamis mengakibatkan 19 bangunan rosak dan 46 orang cedera, termasuk seorang dalam koma dan kritikal. Agensi berita Antara melaporkan mangsa yang kritikal itu menerima rawatan intensif di Hospital Umum Sanglah, Denpasar.
Ia juga melaporkan bahawa 45 pelajar dan guru sebuah sekolah menengah vokasional di Denpasar luka-luka akibat bencana yang berlaku pada pukul 11.16 pagi waktu tempatan itu.
GAMBAR GEMPA BUMI DI BALI 13 OKTOBER 2011
Sehingga ini, belum ada laporan mangsa meninggal dunia.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) mengesan sekurang-kurangnya 10 gempa susulan yang menggegarkan wilayah Bali hingga petang.
Gempa yang berpusat di laut itu berlaku dalam kedudukan 143km ke barat daya Nusa Dua, Bali pada kedalaman 10km, mengikut laporan awal namun BMKG kemudian melaporkan pusat gempa ialah kedalaman 58 km dan tidak akan mewujudkan tsunami.
Sementara itu Badan Pengurusan Bencana Bandar Denpasar, Bali, mencatatkan bahawa 19 bangunan rosak dalam bencana itu termasuklah lapan buah sekolah, bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Bandar Denpasar, bangunan Monumen Perjuangan Rakyat Bali, Muzium Alam Puri Penatih, Pos Pemadam Kebakaran Juanda, sebuah hospital dan enam rumah kediaman masyarakat di Bandar Denpasar.
Pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan segera membaiki bangunan sekolah agar kegiatan mengajar dan belajar tidak terganggu.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment